Seri Pengumuman

Seri Admin mengucapkan SELAMAT BERCUTI kepada semua warga SK Seri Gading. * Berhati-hati ketika memandu Ingatlah orang tersayang.

Sejarah

Sekolah Kebangsaan Seri Gading terletak kira-kira 15 km dari bandar Pengggaram dan jarak 1 km dari pekan Seri Gading. Sejarah awal sekolah ini bermula pada tahun 1924 di sebuah kedai di pekan Seri Gading yang disewa khas oleh penduduk kampung untuk dijadikan bilik darjah bagi menampung keperluan pendidikan kepada anak-anak tempatan yang jumlahnya ketika itu seramai 40 orang.  Seorang tenaga pengajar telah dilantik untuk mengendalikan kelas tersebut.  Beliau ialah Encik Maston bin Haji Tahir.  Nadi utama yang menjadi penggerak ke arah penubuhan Sekolah Seri Gading ini ialah seorang anak watan yang berjiwa gigih yang mahukan anak-anak bangsanya maju mengikut arus perkembangan zaman ketika itu.  Beliau yang dimaksudkan ialah Encik Saat bin Lokman yang bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penubuhan Sekolah tersebut.


Pada peringkat awalnya, segala urusan pentadbiran bagi mengendalikan sekolah tersebut adalah ditanggung sepenuhnya oleh penduduk-penduduk kampung.  Urusan ini termasuk bayaran sewa kedai, gaji guru dan membeli keperluan alat-alat pengajaran dan pembelajaran. Oleh sebab pertambahan penduduk yang semakin meningkat, bilangan murid juga bertambah.  Pada tahun 1926 jumlah muridnya juga menjadi sekali ganda.  Dengan yang demikian, sebuah sekolah yang lebih besar perlu diwujudkan.  Berkat muafakat serta gandingan tenaga gotong royong penduduk kampung, terdirilah sebuah bangunan sekolah yang terbentuk seperti sebuah bangsal berhampiran dengan kawasan masjid yang ada sekarang.  Terlaksananya usaha ini adalah atas dorongan serta kesungguhan Penghulu Mukim V ketika iti iaitu Penghulu Abdul Kadir b. Rahmat.  Dengan usaha Jawatankuasa Pentadbir Sekolah yang diketuai oleh Penghulu Abdul Kadir akhirnya sekolah ini diterima serta diiktiraf sebagai sekolah kerajaan dan semua urusan pentadbirannya diurus oleh pihak kerajaan.  Seorang guru tambahan, Encik Mohamad bin Mohd. Zain, juga ditempatkan di sekolah ini.

'Malang tidak diduga' menimpa ke atas bangunan sekolah yang baru berusia 2 tahun ini iaitu apabila ia sujud menyembah bumi kerana roboh dipukul ribut.  Peristiwa ini berlaku pada tahun 1928.  Murid-murid yang berjumlah hampir 100 orang terpaksa berhijrah semula ke bangunan kedai yang asal dengan keadaan bersesak-sesak. Pada tahun 1930 dengan rayuan orang-orang kampung dan perhatian baik dari Kerajaan Johor, sebuah bangunan baru dibina ditapak yang ada sekarang.  Bangunan ini berukuran 120' X 24' dan dapat menampung seramai 120 orang murid.  Pada tahun 1938 bangunan ini diperbesarkan kerana menampung pertambahan murid yang terus meningkat dengan tambahan seluas 50' X 24'.  Bangunan ini masih berdiri tegak sekarang dan digunakan untuk sekolah agama di waktu petang.

Pada tahun 1941 - 1944 Jepun telah menawan negara kita dan sekolah ini menerima nasib yang sama apabila ia diambil alih oleh pentadbir Jepun untuk mengembangkan pengetahuan bahasanya.  Sekolah ini dibuka semula pada tahun 1945 iaitu setelah Jepun berundur dari negara kita. Pada tahun 1955 sebuah lagi bangunan sekolah dibina oleh orang-orang kampung di Kampung Sengkuang untuk menampung bilangan murid yang semakin bertambah.  Sekolah ini diberi nama Sekolah Seri Bunga dan dapat menampung seramai 400 orang murid.  Pada tahun 1980 pentadbiran sekolah ini dicantumkan dengan Sekolah Kebangsaan Seri Gading dengan Sekolah Kebangsaan Seri Gading sebagai induknya.

Pada tahun 1978, YAB Tun Hussien Onn Perdana Menteri Malaysia juga wakil Parlimen Kawasan Seri Gading, telah melawat ke Kampung Seri Gading kerana merasmikan bangunan masjid baru.  Dalam tinjauannya beliau telah mencadangkan supaya sebuah sekolah baru dibina di kampung ini dan akhirnya pada tahun 1980 satu peruntukan bernilai lebih 1 juta telah diluluskan untuk projek bangunan sekolah baru yang mengandungi 2 blok bangunan dua tingkat 12 bilik darjah, bilik guru, perpustakaan, bilik TV, surau, kantin, tandas, jambatan, padang, pagar dan juga rumah guru.

  Pada 21 Jun 1983 projek bangunan baru ini telah dapat disiapkan dan mula digunakan.  Murid-murid dari sekolah cawangan Sekolah Kebangsaan Seri Bunga telah berpindah ke bangunan baru ini.  Bangunan sekolah cawangan tersebut telah digunakan untuk sekolah agama sahaja. Tarikh 25.10.1987 merupakan hari bersejarah bagi Sekolah Kebangsaan Seri Gading ini kerana pada hari tersebut satu majlis gilang gemilang telah diadakan untuknya iaitu perasmian bangunan baru yang mengambil sempena  Perayaan Jubli Intan genap 63 tahun usianya.  Tan Sri Muhyidin Yasin, Menteri Besar Johor, telah merasmikan majlis yang bersejarah ini.

Pada tahun 2001 kerajaan telah memperuntukkan beberapa bangunan baru iaitu satu blok bangunan yang mengandungi 3 buah kelas dan sebuah makmal komputer. Bangunan kelas siap terlebih dahulu dan mula digunakan pada tahun 2002 manakala bangunan makmal komputer siap pada pertengahan tahun 2002. Tarikh bermula projek makmal ini ialah pada 11 Oktober 2001 dan tarikh penyerahannya oleh kontraktor kepada pihak sekolah ialah pada 27 Ogos 2002. Di dalamnya terdapat 1 server, 1 komputer guru dan 12 komputer murid, 1 pencetak. 1 scanner, 1 projektor, 1 skrin projektor. Makmal ini dilengkapi juga dengan alat penghawa dingin sebanyak 2 unit bagi bilik utama, 1 unit dalam bilik penyelaras makmal dan 1 unit dalam bilik server. Kelengkapan lain ialah seperti 5 unit meja bulat murid, 2 unit meja guru, 16 unit kerusi murid dan 2 unit kerusi guru. Pada tahun 2002, Pra-Sekolah SK Seri Gading telah mendapat bangunan baru yang diubahsuai dari bangunan lama dan siap sepenuhnya pada tahun yang sama.