~credit to SK Serkam Darat~
NKRA-National Key Result Area
Soalan Dan Jawapan
1. Bilakan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan 6 National Key Result Area (NKRA)?
• Pada
Isnin (27 Julai 2009), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah
mengumumkan Indeks Prestasi Utama (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan
Utama Negara (NKRA), termasuk membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan
kadar jenayah, dan memerangi rasuah. Bidang-bidang lain termasuk
meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan;
meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa
prasarana luar bandar dan pedalaman; dan menambah baik pengangkutan awam
dalam jangka masa sederhana.
2. Siapakah Menteri-menteri yang bertanggungjawab menerajui 6 NKRA berkenaan?
• Bagi
setiap NKRA, seorang menteri akan dilantik sebagai 'lead minister' atau
menteri pimpinan bagi menerajui NKRA yang ditetapkan. Menteri-menteri
yang dilantik ialah:
I. Bagi
NKRA untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan,
menterinya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri,
Menteri Pelajaran)
II. Bagi NKRA mengurangkan kadar jenayah, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri)
III. Bagi NKRA memerangi rasuah, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).
IV. Bagi
NKRA tingkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah pula menterinya
ialah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat)
V. Bagi
NKRA memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman ialah Datuk Seri
Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah)
VI. Bagi NKRA menambah baik pengangkutan awam, menterinya ialah Datuk Seri Ong Tee Keat (Menteri Pengangkutan).
3. Bagaimanakah NKRA dilaksanakan?
• Perdana Menteri akan bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap matlamat NKRA dan pencapaian KPI tersebut
• KPI
akan diletakkan kepada setiap 6 jurusan NKRA. Setiap NKRA, akan dikenal
pasti pula KPI-KPI nya dengan sasaran khusus agar dapat diukur.
Berpandukan dengan KPI ini, segala prosedur akan diperkemas, segala
sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan
ditumpu untuk mencapai sasaran yang di pateri dalam satu tempoh masa
munasabah yang dijanjikan
• Setiap
minggu PM akan berjumpa dengan setiap 'lead minister' ini bagi menilai
pencapaian KPI yang ditentukan. Maknanya dalam setiap enam minggu, PM
akan dapat menyelesaikan satu pusingan penilaian pencapaian bagi enam
lapangan NKRA seperti yang direncanakan.
• Bukan
itu sahaja, anggota Jemaah Menteri lain yang tidak termasuk dalam NKRA
juga tidak terkecuali daripada mempunyai KPI kerana mereka tetap
dipertanggungjawabkan untuk mencapai KPI kementerian masing-masing, yang
akan dinilai oleh Perdana Menteri sendiri setiap enam bulan.
• Sebagai
bukti tahap kebersungguhan untuk menjayakan rencana ini, 3 bengkel
khusus telah diadakan di peringkat Jemaah Menteri. Bengkel-bengkel
tersebut adalah bagi merangka, memperincikan dan mencari penyelesaian
terhadap isu-isu yang berbangkit. Sesungguhnya, kita komited melakukan
proses transformasi melalui pengurusan berteraskan pencapaian dengan
menggunakan kaedah penetapan NKRA dan pengukuran KPI. Ini semua
dilakukan bagi memastikan pada analisa akhir rakyatlah yang akan
memperoleh faedahnya.
4. Latar belakang merevolusikan pengurusan
Perkhidmatan Kerajaan : Pencapaian Diutamakan
• Pada
hari pertama dilantik menjadi Perdana Menteri, PM telah menyatakan
dengan jelas bahawa kepimpinan negara di bawah panji pentadbiran kini
akan membawa pendekatan baru, bagi menempa sebuah zaman baru dan bakal
menjelmakan pula sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian
berpaksikan kepentingan rakyat.
• Pada
28hb April, PM telah mengutarakan Key Performance Indicator atau
Petunjuk Prestasi Utama ringkasnya KPI, yang akan menjadi piawai kepada
pencapaian anggota pentadbiran dan penjawat awam. KPI merupakan satu
amalan penting dalam pengurusan prestasi untuk menilai dan mengukur
sasaran yang ditetapkan oleh sesuatu organisasi seperti kementerian atau
agensi kerajaan secara objektif. KPI telah diguna pakai oleh banyak
syarikat korporat dan didapati sebagai radas timbangan kerja yang sangat
berkesan. Malah, mekanisme ini juga diterima pakai dengan jayanya oleh
kerajaan di negara-negara maju seperti Britain, Australia dan Kanada.
• Ini
kerana Kepimpinan tidak akan bermakna jika ia tidak berpaksikan kepada
pencapaian. Hatta, kemuncak kepada penilaian rakyat berkait kepimpinan
sektor awam mahupun politik adalah pencapaian. Metodologi ini juga akan
membolehkan perkhidmatan awam bahkan anggota pentadbiran dinilai secara
menyeluruh dari aspek kuantitatif dan kualitatif.
• Pada
hari ke seratus pentadbiran PM baru-baru ini, PM telah mengumumkan 6
bidang keberhasilan utama nasional atau National Key Results Area,
singkatannya NKRA. Ia menjadi bidang-bidang yang diberi keutamaan di
peringkat kebangsaan.
5. Apakah tujuan pelaksanaan NKRA?
• Tujuan
PM memperkenalkan NKRA dan KPI adalah bagi memastikan elemen
kebertanggungjawaban yang serius, wujud di kalangan anggota pentadbiran
dan juga penjawat awam.
• Puncanya
ialah, PM tidak mahu rakyat sebagai klien utama berada dalam keadaan
teraba-raba dan samar, akan apakah inisiatif, rencana dan hala tuju
pembangunan yang sedang digembleng oleh Kerajaan.
• PM
mahu segala rancangan pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat ini
di maklum dan diketahui oleh rakyat agar mereka dapat memantau dan
menilai pencapaian sasaran seperti yang ditetapkan.
• PM
turut meletakkan KPI kepada 6 jurusan NKRA tersebut. Untuk setiap
NKRA, akan dikenal pasti pula KPI-KPI-nya dengan sasaran secara khusus
agar dapat diukur. Dengan adanya KPI ini, maka segala prosedur akan
diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng
dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran yang di pateri
dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan.
6. Apakah perincian 6 Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA)?
6. Apakah perincian 6 Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA)?
1) NKRA yang pertama :Mengurangkan Kadar Jenayah
• Sesebuah
negara yang menuju ambang kemajuan seperti Malaysia perlu berada dalam
keadaan aman dan damai. Jauh dari segala bentuk ancaman dan jenayah.
Walau bagaimanapun di mana-mana negara di dunia pencegahan jenayah
secara total tidak mungkin dapat dicapai. Pastinya ada sahaja dari masa
ke semasa kejadian-kejadian yang sukar untuk dielakkan daripada ianya
berlaku.
• Oleh
yang demikian, kerajaan memandang serius isu pencegahan jenayah dan
meletakkan keutamaan pengurangan kadar jenayah sebagai salah satu NKRA
di bawah Kementerian Dalam Negeri. Untuk itu, kerajaan telah mengenal
pasti NKRA pengurangan jenayah dan di pecah bahagi kepada tiga bahagian
iaitu:
i) Jenayah jalanan
Jenayah
jalanan diberi penekanan kerana didapati ia mendatangkan trauma dan
ketakutan berpanjangan kepada ahli keluarga juga anggota masyarakat. Apa
yang dimaksudkan dengan jenayah jalanan termasuklah curi ragut, samun
tanpa bersenjata dan samun berkawan tanpa bersenjata api. Statistik
menunjukkan jenayah kategori ini bukanlah enteng-entengan kerana ia
merupakan 17% daripada keseluruhan indeks jenayah 2008. Manakala hot
spots kepada jenayah jenis ini telah dikenal pasti terutamanya di empat
kawasan utama iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.
Didapati, negeri-negeri ini mencatat sebanyak 72% daripada jumlah
keseluruhan jenayah jalanan pada tahun 2008. Oleh sebab itu kerajaan
menetapkan sasaran pengurangan jenayah jalanan ini sebanyak 20% pada
penghujung tahun 2010.
ii) Keselamatan awam
Penumpuan
akan diberikan dalam hal penambahbaikan persepsi rakyat terhadap
keselamatan awam di mana pasukan-pasukan sukarela yang sedia ada
terutamanya RELA akan dikemas kini dan diberi latihan secukupnya secara
lebih teratur. Ini termasuklah penyeragaman uniform supaya mereka dapat
dilibatkan bersama PDRM khususnya dalam usaha membanteras jenayah
jalanan. Dalam usaha ini, balai-balai yang berkaitan akan dinaiktarafkan
serta peralatan-peralatan yang diperlukan akan turut ditambah. Selain
itu, langkah-langkah pengawalan dan pencegahan akan ditingkatkan lagi
dengan menambah peralatan CCTV.
iii) Peningkatan Prestasi Agensi Penguatkuasaan
Untuk
menaikkan prestasi agensi penguatkuasaan pula, Kementerian Dalam Negeri
akan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Perdana
Menteri untuk mengkaji cara-cara mempercepatkan proses perundangan
terhadap kes-kes tertangguh misalnya dengan mewujudkan tribunal atau
mahkamah khas bagi jenayah jalanan.
2) NKRA yang kedua – Memerangi rasuah
• Kerajaan
amat komited dalam usaha memerangi rasuah. Seperti mana yang kita semua
tahu, gejala rasuah haruslah dibendung sebelum ianya terus membarah.
Badan antarabangsa iaitu Transparency International dalam Corruption
Perception Index mereka, meletakkan Malaysia di tangga 47 pada tahun
2008 berbanding dengan kedudukan nombor 39 pada tahun 2004.
•
Oleh itu, untuk memastikan persepsi kedudukan dan ranking Malaysia
bertambah pulih pada masa hadapan, kerajaan beriltizam mengemas kini
polisi, prosedur dan penguatkuasaan yang berkaitan.
• Sehubungan
dengan itu, kerajaan telah pun mengambil keputusan bahawa semua
perolehan kerajaan haruslah menggunakan tender terbuka atau pun tender
terhad kecuali dalam kes-kes tertentu. Manakala dari segi peningkatan
penguatkuasaan, kerajaan telah pun menaikkan taraf badan pencegah rasuah
menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan bidang
kuasa dan perundangan yang lebih efektif.
3) NKRA yang ketiga – Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti dan Berkemampuan
• Seperti
yang semua maklum, ilmu pengetahuan menjadi kandil penyuluh yang
menerangi kegelitaan hidup di dunia. Malah ilmu menjadi prasyarat kepada
pembikinan mana-mana tamadun yang pernah terbina dan yang menentukan
kelancangannya. Justeru, kerajaan akan terus mengiktiraf dan
memberikan ruang kepada yang terbaik dan terbilang tanpa mengira latar
keturunan mahupun taraf sosioekonomi.
• Oleh
itu, dalam bidang pendidikan, PM mahu memastikan anak-anak bangsa
mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Mahu tidak
mahu, generasi muda Malaysia perlu berilmu, mesti berfikiran kreatif,
berinovatif, bercirikan nilai murni serta mampu bersaing di persada
internasional yang penuh cabaran ini dari kemudahan yang diberikan.
• Kerajaan
akan memberikan keutamaan untuk menyediakan pendidikan yang terbaik
bermula daripada peringkat asas iaitu peringkat prasekolah. Untuk itu,
pendidikan prasekolah akan dijadikan sebahagian daripada sistem
pendidikan kebangsaan dalam aliran perdana.
•
Adalah amat merugikan kerana terdapat kanak-kanak yang pergi ke sekolah
tetapi masih tidak menguasai kemahiran membaca atau menulis apabila
meninggalkan bangku pengajian. Maka, bagi menangani kemelut ini, PM
telah menetapkan supaya semua kanak-kanak normal yang bersekolah boleh
menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira ketika melangkah ke
Tahun 4 sekolah rendah sebelum penghujung 2012. Kerajaan menyedari
hanya 60% sahaja anak-anak Malaysia yang dapat akses pendidikan pra
sekolah, jadi KPI menjelang 2012 berharap pencapaian ini dapat dinaikkan
sekurang-kurangnya kepada 80%.
• Bersesuaian
dengan konsep pencapaian diutamakan pula, kepimpinan sekolah di
peringkat rendah dan menengah perlu menyedari mereka adalah peneraju
tapak semaian modal insan nasional. Berkaitan itu, kerajaan dengan ini
ingin menawarkan new deal atau satu Bai’ah baru kepada semua pengetua
dan guru besar sekolah dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian
sekolah masing-masing.
• Selain
itu , sebagai projek perintis, sebanyak 100 buah sekolah, terdiri
daripada jenis harian biasa, sekolah bestari, kluster, trust school atau
sekolah berpiagam dan sekolah berasrama penuh, akan dikenal pasti
untuk diangkat menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi. Dengan ini, kerajaan
akan menyediakan persekitaran pelajaran dan pembelajaran yang kondusif
serta menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memacu
lagi pencapaian pelajar. Semua rencana ini akan dilaksanakan dalam
tempoh 3 tahun sebelum penamat 2012.
4) NKRA yang keempat – Meningkat Taraf Hidup Rakyat Yang Berpendapatan Rendah
• PM
bertekad untuk membanteras kemiskinan tegar menjelang 31 Disember 2010
sesuai dengan matlamat RMK9. Mengikut rekod sistem e-kasih, terdapat
hampir 45,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, lebih 11,000 telah disahkan statusnya dan telah pun
mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Manakala pengesahan
status lebih 14,000 KIR di Sabah dan Sarawak sedang giat dijalankan oleh
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan dijangka
selesai pada penghujung tahun 2010.
• Sehubungan
ini juga, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kerajaan sentiasa
mendengar rintihan serta merasai denyut nadi rakyat dan tidak
sekali-kali memandang mudah soal kebajikan rakyat. Kerajaan mahu setiap
bantuan yang dijanjikan bukan sahaja sampai ke tangan rakyat tetapi tiba
pada masa yang tepat. Oleh itu, bermula Januari 2010 semua bantuan
kebajikan untuk rakyat akan dibayar pada tiap 1 hari bulan bagi bulan
yang berkenaan.
•
Sememangnya, sumbangan kaum wanita kepada pembangunan negara tidak
dapat dinafikan. Malah, kaum hawa membentuk separuh dari penduduk
Malaysia. Bersesuaian itu kerajaan berhasrat untuk melatih dan
melahirkan lebih ramai jumlah usahawan wanita. Sehingga Jun 2009 sahaja,
seramai 717 wanita yang berpotensi untuk dibimbing menjadi usahawan
dalam program Sahabat Amanah Ikhtiar telah dikenal pasti. Justeru,
kerajaan dengan ini menetapkan matlamat untuk menambah lagi jumlah
usahawan di kalangan wanita ini kepada seramai 4,000 orang menjelang
tahun 2012 melalui program Amanah Ikhtiar Malaysia.
5) NKRA yang kelima : Memperkasa Prasarana Luar Bandar dan Pedalaman
• Bersesuaian
dengan semangat dan konteks ajaran al Quran Surah Al-Hashr ayat 7
bahawa, janganlah hendaknya harta dan kekayaan itu beredar di kalangan
orang-orang berada sahaja bahkan sepatutnya ia melimpah ke seluruh
negara. Maka, atas prinsip maslahah umum juga, tiada yang sepatutnya
tercicir dari merasai mahsul kemakmuran.
• Lantaran
itu, pentadbiran kerajaan akan terus giat memperkasa infra luar bandar
dan pedalaman. Menjelang tamatnya tahun 2010 dirancang sepanjang 750 km
jalan luar bandar akan siap dibina di Sabah dan Sarawak. Jumlah ini akan
ditambah lagi kepada 1,500km atau dua kali ganda daripada perancangan
awal. Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM4 bilion dan akan siap
terlaksana sebelum penamat tahun 2012.
• Jalan-jalan
yang akan dibina terdiri daripada tiga (3) kategori iaitu jalan
berturap (paved), jalan kerikil (gravel) dan jalan tanah yang akan
memberi kemudahan perhubungan serta faedah kepada hampir 2 juta penduduk
luar bandar di Sabah dan Sarawak.
•
Manakala di Semenanjung Malaysia pula, bagi tempoh yang sama, liputan
rangkaian jalan luar bandar akan dipertingkatkan bagi memastikan kesemua
rakyat tinggal paling jauh pun, 5km dari kemudahan jalan berturap. Ini
akan melibatkan peruntukan berjumlah RM1 bilion dan bermakna jumlah
peruntukan yang diperlukan bagi penyediaan infrastruktur asas sehingga
2012 adalah sebanyak RM5 bilion.
• Pada
masa ini, liputan bekalan air bersih di Sabah dan Sarawak masih belum
memuaskan iaitu masing-masing di sekitar 62%. Justeru, Kerajaan telah
menetapkan pada akhir RMK9 liputan bekalan air bagi kedua-dua negeri
berkenaan akan dipertingkatkan kepada 70%. Kerajaan begitu serius untuk
menyediakan kemudahan bekalan air bersih kepada semua rakyat dalam
tempoh terdekat ini. Jadinya, tindakan segera akan diambil untuk
meningkatkan liputan bekalan air sehingga 90% di Sabah dan Sarawak pada
penghujung tahun 2012. Untuk tujuan ini sejumlah RM2 bilion
diperuntukkan dan akan membawa kemudahan kepada 60,000 buah rumah.
• Selanjutnya,
memandangkan pada masa ini liputan bekalan elektrik di Sabah dan
Sarawak juga masih rendah iaitu masing-masing sekitar 80% berbanding 99%
di Semenanjung, Kerajaan bermatlamat untuk meningkatkan liputan bekalan
elektrik di kedua-dua negeri tersebut kepada 95% pada akhir tahun 2012.
Sejumlah RM3.9 bilion akan diperuntukkan untuk tujuan ini yang akan
membawa nikmat kepada 80,000 buah rumah. Kerajaan juga menyasarkan untuk
memberi bekalan elektrik 24 jam kepada 7,000 rumah Orang Asli di
Semenanjung pada akhir tahun 2012.
• Kerajaan
turut berhasrat untuk menyediakan kemudahan kediaman yang lebih selesa
kepada golongan miskin dan sehubungan itu, Kerajaan akan membina dan
membaik pulih sejumlah 50,000 unit rumah bagi keperluan golongan
tersebut sehingga penghujung 2012 di seluruh Malaysia.
6) NKRA yang keenam – Menambah Baik Pengangkutan Awam dalam jangka masa sederhana
• Dalam
era Malaysia melangkah sebagai sebuah negara maju, kerajaan berhasrat
untuk menyediakan rangkaian sistem pengangkutan awam yang komprehensif
bagi memenuhi keperluan rakyat. Kerajaan sedar bahawa usaha yang serius
dan bersifat jangka panjang diperlukan bagi menjayakan matlamat ini.
• Mengikut
pada statistik Kementerian Pengangkutan, pada masa ini hanya 16%
daripada penduduk Lembah Klang menggunakan sistem pengangkutan awam.
Jadi, Kerajaan menyasarkan bahawa peratus ini akan ditingkatkan lagi
kepada 25% pada penghujung tahun 2012. Namun, harus disedari, untuk
meningkatkan peratus ini, ia melibatkan pelbagai pelaburan yang besar,
mapan dan berjangka panjang. Walau apa pun, buat langkah permulaannya,
PM mengumumkan menjelang penghujung 2012, tambahan 35 set “4-car-train”
akan beroperasi untuk laluan LRT Kelana Jaya.
Kesimpulan
Kesimpulan
Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ini membuktikan Kerajaan di bawah
pimpinan YB Dato Seri Najib Tun Razak begitu telus dan komited untuk
melaksanakan transformasi perkhidmatan kerajaan yang bermutu tinggi
kepada rakyat. Ini kerana dengan adanya NKRA ini rakyat boleh menilai
keberkesanan kepimpinan YB Dato Seri Najib Tun Razak secara adil dan
sistematik tanpa berdasarkan emosi ataupun persepsi semata-mata.
Selain
daripada itu juga Kerajaan pimpinan YB PM telah memperkenalkan sistem
pengukuran prestasi yang boleh membuktikan secara fakta keberkesanan
setiap 6 bidang NKRA. NKRA ini juga merupakan manifestasi kerajaan dalam
meletakkan amanah dan mandat rakyat di kedudukan tertinggi dan
bermaruah di samping mencapai konsep 1Malaysia di mana, “ rakyat
didahulukan dan pencapaian di utamakan.”